Ada penipuan dalam PRU-14 – Tun M

Ada penipuan dalam PRU-14 – Tun M

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa wujud unsur penipuan ketika proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga ada calon Pakatan Harapan (PH) tewas dengan jumlah undi yang tidak masuk akal dan mengejutkan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata perbuatan terbabit menyebabkan parti dalam gabungan itu tidak mendapat keputusan yang baik walaupun memenangi PRU-14.

Sehubungan itu, katanya, parti sedang meneliti laporan beberapa penipuan yang wujud sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita dapat laporan berkenaan kes penipuan yang berlaku dalam PRU lalu yang menyebabkan beberapa daripada calon kita kalah.

“Ada yang setengahnya sudah menang tetapi datang peti undi lain… ada juga undi rosak beratus-ratus sampai 700 hingga 800 undi rosak. Ingat orang Malaysia bodoh ke (tidak tahu mengundi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ditanya jika kerajaan akan membuat perubahan termasuk menukar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berikutan unsur penipuan itu, Dr Mahathir berkata:

“Bagi parti berkenaan, kami akan membangkitkan kes ini, bergantung kepada penemuan… jika kita mempunyai alasan atau tidak, apa juga tindakan yang perlu akan diambil.

“Saya difahamkan beliau (Pengerusi SPR) mahu meletak jawatan tetapi jika ia berbuat demikian dan jika ada apa-apa terhadapnya, tindakan akan diambil mengikut undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, PPBM menyedari wujud permintaan di luar jangka dari kalangan ahli UMNO yang mahu menyertai PPBM selepas PRU lalu.

Bagaimanapun, katanya, ahli UMNO itu perlu disaring terlebih dulu selain menetapkan supaya mereka mesti keluar UMNO dan menyatakan pendirian menyokong PPBM.

“Selepas PRU lalu, peralihan (kerajaan) berlaku tanpa wujud keganasan. Kita juga dapati orang ramai berminat untuk menyertai PPBM dan ada antara mereka adalah ahli UMNO.

“Ahli UMNO boleh sertai parti kita selepas keluar UMNO. Mereka perlu menyatakan pendirian menyokong PPBM,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika ini dianggarkan seramai 1,000 orang menyatakan minat untuk menjadi ahli PPBM setiap hari.

“Dalam mesyuarat pada hari ini kita juga bincang untuk menentukan apakah perjuangan parti ini sebenarnya supaya orang ramai boleh faham,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPBM juga memutuskan untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Perak.

sumber: berita harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *