Category: SEMASA

Israel rampas bot Palestin

Israel rampas bot Palestin

BANDAR GAZA: Tentera Israel menahan dan merampas kawalan sebuah bot protes Palestin hari ini, kata penganjur ketika mereka yang berada di dalamnya membantah menentang sekatan Yahudi di Gaza.

Insiden berlaku di tengah ketegangan tinggi Semenanjung Gaza selepas pejuang melepaskan berpuluh meriam ke arah Israel, dibalas tentera Zionis.

Bot itu, membawa penduduk Gaza yang sakit dan penganggur, ditahan tentera Israel beberapa kilometer di laut, kata Salah Abdul Atti, seorang penganjur kepada AFP.

“Tentera Israel mengepung dan memintasnya,” kata Atti menambah hubungan komunikasi dengan bot terputus.

Katanya, mereka dimaklumkan, bot dan penumpangnya akan dibawa ke pelabuhan Israel di Ashdod.

Jurucakap tentera, Jonathan Conricus berkata, ia adalah cubaan tidak sah memecahkan sekatan tentera laut dikenakan ke atas Gaza sejak Hamas merampas kuasa.

Penganjur berkata, mereka mahu mengetengahkan impak sekatan ke atas dua juta penduduk Gaza. -AFP

Pencarian MH370 berakhir, ini dia hasil carian yang wajib kita terima dengan hati terbuka

Pencarian MH370 berakhir, ini dia hasil carian yang wajib kita terima dengan hati terbuka

PUTRAJAYA: Syarikat penerokaan dasar laut dari Amerika Syarikat, Ocean Infinity, hari ini mengesahkan misi pencarian bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang telah berakhir.

Ocean Infinity dalam satu kenyataan hari ini berkata, syarikat itu menjalankan pencarian dan mengumpul data berkualiti tinggi meliputi kawasan seluas lebih 112,000 kilometer persegi dan berjaya mengatasi keadaan dan kawasan dasar laut yang mencabar.

“Keluasan kawasan yang diliputi dalam masa lebih tiga bulan operasi adalah jauh melebihi sasaran awal iaitu 25,000 km persegi dan hampir sama dengan kawasan pencarian sebelumnya dalam tempoh dua setengah tahun,” kata kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, merakamkan rasa dukacita semua pihak di Ocean Infinity kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam MH370.

“Sebahagian daripada motivasi kami untuk menyambung semula pencarian ialah cuba merungkaikan beberapa jawapan kepada mereka yang terbabit.

“Oleh itu, kami dengan hati yang amat berat mengakhiri usaha pencarian tanpa mencapai matlamat itu,” katanya.

Beliau berkata, Ocean Infinity berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana memberi tawaran dan peluang kepada syarikat itu menyambung semula misi pencarian.

Komitmen yang dizahirkan oleh kerajaan baharu di Malaysia untuk memberi keutamaan kepada usaha menjejaki MH370 adalah sangat baik, kata Plunkett.

“Walaupun hasil misi pencarian itu setakat ini amat mengecewakan, tetapi sebagai sebuah syarikat, kami amat berbangga dengan apa yang telah kami capai dari segi kualiti data yang kami hasilkan dan kecepatan tempoh masa yang telah diliputi dalam misi pencarian merangkumi kawasan yang luas.

“Belum pernah misi pencarian dasar laut laut berskala ini dijalankan dengan begitu cekap dan berkesan sebelumnya,” kata beliau.

Beliau juga berkata, Ocean Infinity dengan ikhlas berharap syarikat itu sekali lagi dapat menawarkan khidmatnya dalam pencarian MH370 pada masa akan datang.

Ocean Infinity juga mengucapkan terima kasih kepada pasukan di atas kapal Seabed Constructor yang berusaha dengan gigih tanpa penat dan juga kepada semua syarikat, organisasi dan individu yang memberi sokongan, bimbingan dan nasihat yang tidak ternilai.

Plunkett berkata, pihaknya turut berterima kasih kepada kakitangan di Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang dedikasi mereka usaha menjejaki pesawat itu tidak pernah pudar dan layak diberi pujian.

Pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 kru hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Pada Januari tahun ini, Malaysia menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk menyambung semula pencarian pesawat malang itu.

Misi pencarian oleh Ocean Infinity di selatan Lautan Hindi adalah berdasarkan terma “no cure, no fee,” yang bermakna bayaran hanya akan dibuat apabila serpihan pesawat yang hilang itu ditemukan dan disahkan oleh pihak ketiga. – BERNAMA

sumber: berita harian

Layanan istimewa kekal jika Najib tak salah – PM

Layanan istimewa kekal jika Najib tak salah – PM

TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan Datuk Seri Najib Tun Razak akan mendapat layanan ‘istimewa’ sebagai bekas Perdana Menteri sekiranya didapati tidak bersalah dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Beliau dalam siasatan dan tidak mewakili bekas Perdana Menteri.

“Jika didapati tidak bersalah, beliau akan dapat kembali kelebihan seperti bekas Perdana Menteri yang lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa bersama kira-kira 500 warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Aman, di Kuala Lumpur malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib yang dimuatnaik di akaun Facebook bahawa kesemua pegawai keselamatan, polis pengiring serta Unit Tindakan Khas (UTK) yang ditugaskan kepada Najib sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang pegawai Aide De Camp (ADC).

Najib berharap, kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa menjaga kebajikan kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada beliau dan keluarganya.

Menurut Najib, kesemua mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

sumber: berita harian

Pengawal peribadi Najib ditarik balik

Pengawal peribadi Najib ditarik balik

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Najib Razak akan mendapat layanan ‘istimewa’ sebagai bekas Perdana Menteri sekiranya didapati tidak bersalah dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Perdana Menteri berkata, jika didapati tidak bersalah, beliau akan dapat kembali kelebihan seperti bekas Perdana Menteri yang lain.

“Beliau (Najib) dalam siasatan dan tidak mewakili bekas Perdana Menteri,” katanya selepas Majlis Iftar Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Masjid Bukit Aman, malam ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Najib menerusi Facebook bahawa semua pegawai keselamatan, polis pengiring serta anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) sudah ditarik balik oleh kerajaan baharu kecuali seorang juruiring kanan atau Aide De Camp (ADC).

Dalam kenyataannya Najib berharap, kerajaan Pakatan Harapan (PH) supaya sentiasa menjaga kebajikan kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada beliau dan keluarganya.

Menurut Najib, semua mereka adalah anggota dan pegawai berdedikasi yang akan berkhidmat kepada kerajaan hari ini dengan penuh kesetiaan.

“Hari ini saya membalas tabik hormat dan mengucapkan selamat tinggal kepada kumpulan pengawal pengiring, UTK, polis pengiring dan pegawai yang ditugaskan untuk menyediakan kawalan keselamatan dan bantuan kepada saya dan keluarga sama ada di Pejabat Perdana Menteri serta di kediaman rasmi Seri Perdana,” kata Najib menerusi kiriman itu di Facebook.

Najib berkata, tidak dapat dinafikan semua mereka diselubungi emosi dan ada yang menitiskan air mata ketika melafazkan kata-kata perpisahan.

“Saya dan keluarga tidak akan lupakan jasa, persahabatan dan kesetiaan mereka sepanjang sembilan tahun ini termasuk mereka yang sudah berjasa kepada kami selama 14 tahun semasa saya masih Timbalan Perdana Menteri.

“Hingga kita bertemu lagi, saya ucapkan kepada mereka selamat maju jaya dan berharap mereka akan terus berkhidmat kepada kerajaan baharu dengan dedikasi dan kesetiaan yang sama ketika bersama saya,” katanya.

Sementara itu ditemui pada majlis sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata penarikan balik pengawal dan polis pengiring Najib serta keluarga adalah mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ditetapkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, ada kelayakan tertentu mengikut SOP yang patut diterima bekas Perdana Menteri.

“Kita akan kekalkan SOP yang ditetapkan. Bekas-bekas Perdana Menteri ada kelayakannya tertentu dan kita akan akur.

“ADC kita akan kekalkan. ADC untuk Datin Seri (Rosmah Mansor) kita akan kekalkan termasuk bodyguard (pengawal peribadi),” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata, pengurangan atau jumlah pengawal dan pegawai polis sebagai pengiring serta pengawal peribadi dikurangkan berbanding sebelum ini berdasarkan SOP.

sumber: Berita Harian

Ada penipuan dalam PRU-14 – Tun M

Ada penipuan dalam PRU-14 – Tun M

PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa wujud unsur penipuan ketika proses pengiraan undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sehingga ada calon Pakatan Harapan (PH) tewas dengan jumlah undi yang tidak masuk akal dan mengejutkan.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), berkata perbuatan terbabit menyebabkan parti dalam gabungan itu tidak mendapat keputusan yang baik walaupun memenangi PRU-14.

Sehubungan itu, katanya, parti sedang meneliti laporan beberapa penipuan yang wujud sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita dapat laporan berkenaan kes penipuan yang berlaku dalam PRU lalu yang menyebabkan beberapa daripada calon kita kalah.

“Ada yang setengahnya sudah menang tetapi datang peti undi lain… ada juga undi rosak beratus-ratus sampai 700 hingga 800 undi rosak. Ingat orang Malaysia bodoh ke (tidak tahu mengundi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalannya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Ditanya jika kerajaan akan membuat perubahan termasuk menukar Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berikutan unsur penipuan itu, Dr Mahathir berkata:

“Bagi parti berkenaan, kami akan membangkitkan kes ini, bergantung kepada penemuan… jika kita mempunyai alasan atau tidak, apa juga tindakan yang perlu akan diambil.

“Saya difahamkan beliau (Pengerusi SPR) mahu meletak jawatan tetapi jika ia berbuat demikian dan jika ada apa-apa terhadapnya, tindakan akan diambil mengikut undang-undang negara,” katanya.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, PPBM menyedari wujud permintaan di luar jangka dari kalangan ahli UMNO yang mahu menyertai PPBM selepas PRU lalu.

Bagaimanapun, katanya, ahli UMNO itu perlu disaring terlebih dulu selain menetapkan supaya mereka mesti keluar UMNO dan menyatakan pendirian menyokong PPBM.

“Selepas PRU lalu, peralihan (kerajaan) berlaku tanpa wujud keganasan. Kita juga dapati orang ramai berminat untuk menyertai PPBM dan ada antara mereka adalah ahli UMNO.

“Ahli UMNO boleh sertai parti kita selepas keluar UMNO. Mereka perlu menyatakan pendirian menyokong PPBM,” katanya.

Dr Mahathir berkata, ketika ini dianggarkan seramai 1,000 orang menyatakan minat untuk menjadi ahli PPBM setiap hari.

“Dalam mesyuarat pada hari ini kita juga bincang untuk menentukan apakah perjuangan parti ini sebenarnya supaya orang ramai boleh faham,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, PPBM juga memutuskan untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri di Perak.

sumber: berita harian

Restoran Cuci Pinggan Guna Air Lopak Kotor

Restoran Cuci Pinggan Guna Air Lopak Kotor

KUASA media sosial bukan sekadar boleh melariskan jualan, tetapi berupaya menutup perniagaan jika dakwaan dibuat adalah benar.

Pengurusan restoran makanan daun pisang di Bangsar di Kuala Lumpur, Raj’s Banana Leaf, mengakui beberapa entri dan gambar memaparkan pekerja mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan di belakang sebuah premis adalah kakitangannya.

Malah, rakaman video selama 29 saat memaparkan kumpulan pekerja terbabit mencuci pinggan dengan air lopak itu tular di media sosial.

Pihak pengurusan premis berkenaan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya berhubung insiden itu.

“Kami ingin memohon maaf berhubung kejadian pekerja baharu kami (mencuci pinggan menggunakan air lopak) di premis kami di Bangsar, baru-baru ini.

“Ini tidak pernah berlaku dan tidak sepatutnya berlaku.

“€œKami memberi jaminan Raj’s Banana Leaf sentiasa lulus dalam pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara berkala.

“€œKami berasa kesal dengan tindakan kakitangan baharu kami dan menyedari perbuatan mereka tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.

Seiring permohonan maaf itu, Raj’s Banana Leaf mengumumkan untuk menyediakan juadah buka puasa percuma di cawangannya di Bangsar pada 31 Mei ini, dari 7.30 malam sehingga 9.30 malam.

Pengurusan restoran memberi jaminan akan mengawasi dapur mereka dengan teliti, sambil menambah aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.

Raj’s Banana Leaf turut menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan kejadian itu tidak akan berulang.

Memahami kebimbangan diluahkan pelanggan, Raj’s Banana Leaf berharap orang ramai memberi mereka peluang untuk terus menyajikan hidangan pada masa akan datang.

Sementara itu, sebuah portal tempatan, TwentyTwo13, melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata restoran itu akan ditutup bermula esok.

“€œSaya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok.

“Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan,” katanya dipetik oleh laporan itu.

Sumber: Harian Metro

Nilai harta Najib mungkin melebihi Marcos, Imelda

Nilai harta Najib mungkin melebihi Marcos, Imelda

KUALA LUMPUR – Anggaran nilai rampasan aset di kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin mampu mengatasi kekayaan pasangan pemimpin diktator Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda.

Mengikut laporan Malaysiakini yang memetik Financial Times, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar salah guna kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini ‘sangat mengejutkan’ terutama apabila ramai pemimpin parti terbabit sibuk bercakap mengenai usaha menangani kemiskinan rakyat.

“Saya rasa kita mungkin akan mencatat rekod mengagumkan dan melebihi (harta) Imelda dan yang lain-lain,” katanya.

Kelmarin, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya merampas 284 beg tangan mewah, 72 beg dan bagasi mengandungi duit serta barang kemas serta pelbagai aset lain di sebuah kondominium mewah, Pavilion Residence yang ada kaitan dengan Najib dan Rosmah.

Difahamkan, polis menggunakan lima buah trak yang tiba kira-kira jam 11.45 malam ke kondominium berkenaan bagi mengambil semua barangan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lori.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih belum mengesahkan nilai keseluruhan rampasan tersebut.

Selain itu, polis turut membuat serbuan di lokasi berlainan, juga kediaman Najib dan isterinya, Datin Rosmah Mansor di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Semalam pihak polis berjaya membuka peti besi yang didakwa terkunci sejak 20 tahun lalu dalam tempoh lebih 24 jam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Sigh berkata penggeledahan juga akan dilakukan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi mendapatkan bukti yang mendakwa Najib menerima dana bernilai RM2.9 bilion, disyaki penyelewangan 1MDB.

Pasangan Marcos yang dikatakan Anwar dalam temubual berkenaan merupakan bekas pemerintah Filipina bermula 1965 sebelum mengalami zaman kejatuhan pada 1986.

Isterinya, Imelda merupakan bekas finalis ratu cantik dikatakan banyak menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan gaya hidup mewah dengan menggunakan wang rakyat.

Filipina yang sebelum ini merupakan sebuah negara kaya, menjadi miskin sepanjang 20 tahun dibawah pemerintahan Marcos.

Berdasarkan Data Transparency International, Marcos dikatakan telah merompak wang rakyat sekurang-kurangnya AS$10 bilion, termasuk barangan Imelda yang dibeli menggunakan wang rakyat.

Siasatan polis juga berjaya menemui sebanyak 3,000 koleksi kasut, 1,500 koleksi beg tangan, 1,200 gaun pereka, 1,000 beg duit dan pelbagai aset berharga lain.

72 beg berisi wang tunai, barang kemas dirampas

72 beg berisi wang tunai, barang kemas dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 72 bagasi mengandungi wang tunai, barang kemas dan pelbagai barangan berharga serta 284 kotak berisi beg tangan berjenama ditemui dalam sebuah unit kediaman di Pavilion Residences Apartment yang diperiksa polis berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata kesemua barangan yang dirampas itu susulan pemeriksaan ke atas unit kediaman terbabit selepas pihaknya memperoleh borang geledah daripada mahkamah.

Katanya, pihak JSJK Bukit Aman melakukan pemeriksaan di enam lokasi serentak, kelmarin iaitu di Pejabat Perdana Menteri (bekas perdana menteri) dan kediaman rasmi bekas Perdana Menteri di Putrajaya dan empat kediaman persendirian di ibu negara termasuk kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini.

Tiga lagi kediaman persendirian yang diperiksa terletak di dalam Pavilion Residences Apartment termasuk unit kediaman yang digunakan untuk menyimpan semua barangan yang dirampas hari ini.

“Semasa pemeriksaan, tiada penghuni di dalam kediaman terbabit namun kami memperolehi borang geledah daripada mahkamah untuk menjalankan pemeriksaan.”Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk dokumen berkaitan 1MDB dalam pemeriksaan di lima lokasi lain,” katanya dalam sidang media di pekarangan lobi apartmen, awal pagi tadi.

Ketika ditanya siapakah pemilik unit kediaman yang diperiksa tadi, Amar Singh memaklumkan ia adalah milik seorang individu bergelar Tan Sri namun enggan mendedahkah butiran lanjut.

“Saya tidak perlu dedahkan siapa pemiliknya tetapi ia ada kaitan dengan siasatan 1MDB.

“Cukup atau tidak bahan bukti yang dirampas hari ini untuk melakukan pendakwaan, itu akan diberitahu oleh Ketua Polis Negara nanti,” jelas beliau.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes 1MDB masih berjalan, justeru pihaknya meminta orang ramai dan media tidak membuat spekulasi berhubung tangkapan ke atas mana-mana pihak.

Mengenai dakwaan peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal bahawa polis yang membuat pemeriksaan di kediaman Najib di Taman Duta terlalu lama hampir 24 jam hingga mengganggu ketenteraman penghuninya, Amar Singh berkata pihaknya menjalankan tugas secara profesional.

Dalam pada itu, Amar Singh memaklumkan pihaknya belum dapat memberi anggaran jumlah sebenar nilai kesemua barangan mewah dan berharga yang dirampas tadi, namun dipercayai jumlahnya besar.

“Kita masih jalankan proses pengiraan untuk mengetahui nilai sebenar barang yang kita rampas,” kata beliau.

Difahamkan, antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton, manakala wang tunai yang dirampas terdiri daripada pelbagai jenis matawang.

Terdahulu, lima trak polis digunakan untuk memunggah barangan yang dirampas di kediaman mewah berkenaan mulai jam 12.13 tengah malam tadi dan proses itu mengambil masa kira-kira dua jam.

sumber: berita harian

Dua kali Najib menelefon Anwar sejurus tewas PRU-14

Dua kali Najib menelefon Anwar sejurus tewas PRU-14

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digambarkan sebagai kecewa pada malam Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Najib menghubunginya sebanyak dua kali bagi mendapatkan nasihat susulan kekalahan BN pada malam itu.

“Apabila beliau (Najib) menelefon pada malam pilihan raya lalu, saya menasihatkannya sebagai sahabat supaya menerima (kekalahan) dan meneruskan hidup,” katanya ketika ditemubual Reuters di kediamannya di sini.

Anwar berkata, beliau meminta Najib supaya segera membuat kenyataan bagi mengelak dilihat cuba melengahkan proses peralihan kuasa.

Bagaimanapun, katanya, Najib tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kemenangan PH pada malam itu.

Pada sidang media sehari selepas PRU-14, Najib berkata tiada parti yang memperoleh majoriti mudah dan memberi kepercayaan kepada Yang di Pertuan Agong untuk menggunakan budi bicara baginda memilih Perdana Menteri baharu.

“Beliau (Najib) keliru… beliau enggan menerima kenyataan (kekalahan BN),” kata Anwar yang dibebaskan daripada hukuman penjara akibat kesalahan liwat selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar berkata, Najib cuba memikirkan apa yang boleh dilakukannya dan siapa yang boleh menasihatkannya, malah beliau menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menawarkan sebarang perjanjian serius kepadanya.

“Jika sekalipun beliau menawarkan perjanjian, saya hanya akan mengabaikannya… saya hanya mendengar apa yang beliau katakan.

“Ketika panggilan kedua itu, Najib ‘totally shattered’ (bersedih),” katanya – Reuters.

sumber: berita harian

Dakwa jika bukti cukup – Anwar

Dakwa jika bukti cukup – Anwar

KUALA LUMPUR : Sebarang proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu mengikut proses dan lunas undang-undang.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata orang ramai tidak boleh menjatuhkan hukuman sehingga mahkamah membuktikan bekas Perdana Menteri itu bersalah.

“Orang kata Najib bersalah, tapi kita kena ikut proses. Saya beritahu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan dia kata, pergi cari dokumen.

“Saya setuju tetapi kenalah ikut proses. (Perasaan) marah kita, benci kita, jangan menyebabkan kita tinggalkan landasan hukum.

“Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan hukum, bukan hukum rimba (law of jungle). Walaupun kita percaya ada cukup alasan untuk mendakwa Najib, kita mesti ikut proses, (ada) prima facie yang cukup kuat sebelum dakwa,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Iftar Anwar Ibrahim bersama 500 penyokong di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi, yang disiarkan portal MediaRakyat, di saluran Youtube.

Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan penyokong PH untuk tidak menjadikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai proses membalas dendam kepada musuh.

Katanya, rakyat diingatkan untuk tidak menzalimi orang lain, sebaliknya bersyukur dengan kemenangan itu bagi menegakkan keadilan.

“Jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur, kita kena ikut perintah Allah. Jangan kita kata syukur kepada Allah, kita bantai dia (Najib), terus suruh tangkap. Itu namanya dendam.

“Bukan mudah untuk kita bawa perubahan. Apa yang penting adalah kita tegakkan undang-undang,” katanya.