Category: SEMASA

Restoran Cuci Pinggan Guna Air Lopak Kotor

Restoran Cuci Pinggan Guna Air Lopak Kotor

KUASA media sosial bukan sekadar boleh melariskan jualan, tetapi berupaya menutup perniagaan jika dakwaan dibuat adalah benar.

Pengurusan restoran makanan daun pisang di Bangsar di Kuala Lumpur, Raj’s Banana Leaf, mengakui beberapa entri dan gambar memaparkan pekerja mencuci pinggan menggunakan air lopak di tepi jalan di belakang sebuah premis adalah kakitangannya.

Malah, rakaman video selama 29 saat memaparkan kumpulan pekerja terbabit mencuci pinggan dengan air lopak itu tular di media sosial.

Pihak pengurusan premis berkenaan turut memohon maaf menerusi akaun Facebook rasminya berhubung insiden itu.

“Kami ingin memohon maaf berhubung kejadian pekerja baharu kami (mencuci pinggan menggunakan air lopak) di premis kami di Bangsar, baru-baru ini.

“Ini tidak pernah berlaku dan tidak sepatutnya berlaku.

“€œKami memberi jaminan Raj’s Banana Leaf sentiasa lulus dalam pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara berkala.

“€œKami berasa kesal dengan tindakan kakitangan baharu kami dan menyedari perbuatan mereka tidak boleh diterima,” kata kenyataan itu.

Seiring permohonan maaf itu, Raj’s Banana Leaf mengumumkan untuk menyediakan juadah buka puasa percuma di cawangannya di Bangsar pada 31 Mei ini, dari 7.30 malam sehingga 9.30 malam.

Pengurusan restoran memberi jaminan akan mengawasi dapur mereka dengan teliti, sambil menambah aspek kebersihan sentiasa menjadi keutamaan.

Raj’s Banana Leaf turut menegaskan sudah mengambil tindakan terhadap pekerja terbabit dan kejadian itu tidak akan berulang.

Memahami kebimbangan diluahkan pelanggan, Raj’s Banana Leaf berharap orang ramai memberi mereka peluang untuk terus menyajikan hidangan pada masa akan datang.

Sementara itu, sebuah portal tempatan, TwentyTwo13, melaporkan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz, berkata restoran itu akan ditutup bermula esok.

“€œSaya akan mengarahkan pegawai Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar menyita premis itu esok.

“Ia akan ditutup sehingga mereka mematuhi semua peraturan,” katanya dipetik oleh laporan itu.

Sumber: Harian Metro

Nilai harta Najib mungkin melebihi Marcos, Imelda

Nilai harta Najib mungkin melebihi Marcos, Imelda

KUALA LUMPUR – Anggaran nilai rampasan aset di kediaman yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mungkin mampu mengatasi kekayaan pasangan pemimpin diktator Filipina, Ferdinand Marcos dan isterinya, Imelda.

Mengikut laporan Malaysiakini yang memetik Financial Times, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar salah guna kuasa oleh kerajaan BN sebelum ini ‘sangat mengejutkan’ terutama apabila ramai pemimpin parti terbabit sibuk bercakap mengenai usaha menangani kemiskinan rakyat.

“Saya rasa kita mungkin akan mencatat rekod mengagumkan dan melebihi (harta) Imelda dan yang lain-lain,” katanya.

Kelmarin, anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berjaya merampas 284 beg tangan mewah, 72 beg dan bagasi mengandungi duit serta barang kemas serta pelbagai aset lain di sebuah kondominium mewah, Pavilion Residence yang ada kaitan dengan Najib dan Rosmah.

Difahamkan, polis menggunakan lima buah trak yang tiba kira-kira jam 11.45 malam ke kondominium berkenaan bagi mengambil semua barangan tersebut sebelum dimasukkan ke dalam sebuah lori.

Walau bagaimanapun, pihak polis masih belum mengesahkan nilai keseluruhan rampasan tersebut.

Selain itu, polis turut membuat serbuan di lokasi berlainan, juga kediaman Najib dan isterinya, Datin Rosmah Mansor di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Semalam pihak polis berjaya membuka peti besi yang didakwa terkunci sejak 20 tahun lalu dalam tempoh lebih 24 jam.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Sigh berkata penggeledahan juga akan dilakukan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya bagi mendapatkan bukti yang mendakwa Najib menerima dana bernilai RM2.9 bilion, disyaki penyelewangan 1MDB.

Pasangan Marcos yang dikatakan Anwar dalam temubual berkenaan merupakan bekas pemerintah Filipina bermula 1965 sebelum mengalami zaman kejatuhan pada 1986.

Isterinya, Imelda merupakan bekas finalis ratu cantik dikatakan banyak menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan gaya hidup mewah dengan menggunakan wang rakyat.

Filipina yang sebelum ini merupakan sebuah negara kaya, menjadi miskin sepanjang 20 tahun dibawah pemerintahan Marcos.

Berdasarkan Data Transparency International, Marcos dikatakan telah merompak wang rakyat sekurang-kurangnya AS$10 bilion, termasuk barangan Imelda yang dibeli menggunakan wang rakyat.

Siasatan polis juga berjaya menemui sebanyak 3,000 koleksi kasut, 1,500 koleksi beg tangan, 1,200 gaun pereka, 1,000 beg duit dan pelbagai aset berharga lain.

72 beg berisi wang tunai, barang kemas dirampas

72 beg berisi wang tunai, barang kemas dirampas

KUALA LUMPUR: Sebanyak 72 bagasi mengandungi wang tunai, barang kemas dan pelbagai barangan berharga serta 284 kotak berisi beg tangan berjenama ditemui dalam sebuah unit kediaman di Pavilion Residences Apartment yang diperiksa polis berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata kesemua barangan yang dirampas itu susulan pemeriksaan ke atas unit kediaman terbabit selepas pihaknya memperoleh borang geledah daripada mahkamah.

Katanya, pihak JSJK Bukit Aman melakukan pemeriksaan di enam lokasi serentak, kelmarin iaitu di Pejabat Perdana Menteri (bekas perdana menteri) dan kediaman rasmi bekas Perdana Menteri di Putrajaya dan empat kediaman persendirian di ibu negara termasuk kediaman Datuk Seri Najib Razak di Jalan Langgak Duta, Taman Duta di sini.

Tiga lagi kediaman persendirian yang diperiksa terletak di dalam Pavilion Residences Apartment termasuk unit kediaman yang digunakan untuk menyimpan semua barangan yang dirampas hari ini.

“Semasa pemeriksaan, tiada penghuni di dalam kediaman terbabit namun kami memperolehi borang geledah daripada mahkamah untuk menjalankan pemeriksaan.”Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk dokumen berkaitan 1MDB dalam pemeriksaan di lima lokasi lain,” katanya dalam sidang media di pekarangan lobi apartmen, awal pagi tadi.

Ketika ditanya siapakah pemilik unit kediaman yang diperiksa tadi, Amar Singh memaklumkan ia adalah milik seorang individu bergelar Tan Sri namun enggan mendedahkah butiran lanjut.

“Saya tidak perlu dedahkan siapa pemiliknya tetapi ia ada kaitan dengan siasatan 1MDB.

“Cukup atau tidak bahan bukti yang dirampas hari ini untuk melakukan pendakwaan, itu akan diberitahu oleh Ketua Polis Negara nanti,” jelas beliau.

Beliau berkata, siasatan berhubung kes 1MDB masih berjalan, justeru pihaknya meminta orang ramai dan media tidak membuat spekulasi berhubung tangkapan ke atas mana-mana pihak.

Mengenai dakwaan peguam mewakili Najib, Datuk Harpal Singh Grewal bahawa polis yang membuat pemeriksaan di kediaman Najib di Taman Duta terlalu lama hampir 24 jam hingga mengganggu ketenteraman penghuninya, Amar Singh berkata pihaknya menjalankan tugas secara profesional.

Dalam pada itu, Amar Singh memaklumkan pihaknya belum dapat memberi anggaran jumlah sebenar nilai kesemua barangan mewah dan berharga yang dirampas tadi, namun dipercayai jumlahnya besar.

“Kita masih jalankan proses pengiraan untuk mengetahui nilai sebenar barang yang kita rampas,” kata beliau.

Difahamkan, antara beg tangan mewah yang dirampas adalah berjenama Hermes Birkin dan Louis Vuitton, manakala wang tunai yang dirampas terdiri daripada pelbagai jenis matawang.

Terdahulu, lima trak polis digunakan untuk memunggah barangan yang dirampas di kediaman mewah berkenaan mulai jam 12.13 tengah malam tadi dan proses itu mengambil masa kira-kira dua jam.

sumber: berita harian

Dua kali Najib menelefon Anwar sejurus tewas PRU-14

Dua kali Najib menelefon Anwar sejurus tewas PRU-14

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak digambarkan sebagai kecewa pada malam Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), minggu lalu.

Mendedahkan perkara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Najib menghubunginya sebanyak dua kali bagi mendapatkan nasihat susulan kekalahan BN pada malam itu.

“Apabila beliau (Najib) menelefon pada malam pilihan raya lalu, saya menasihatkannya sebagai sahabat supaya menerima (kekalahan) dan meneruskan hidup,” katanya ketika ditemubual Reuters di kediamannya di sini.

Anwar berkata, beliau meminta Najib supaya segera membuat kenyataan bagi mengelak dilihat cuba melengahkan proses peralihan kuasa.

Bagaimanapun, katanya, Najib tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kemenangan PH pada malam itu.

Pada sidang media sehari selepas PRU-14, Najib berkata tiada parti yang memperoleh majoriti mudah dan memberi kepercayaan kepada Yang di Pertuan Agong untuk menggunakan budi bicara baginda memilih Perdana Menteri baharu.

“Beliau (Najib) keliru… beliau enggan menerima kenyataan (kekalahan BN),” kata Anwar yang dibebaskan daripada hukuman penjara akibat kesalahan liwat selepas mendapat pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Anwar berkata, Najib cuba memikirkan apa yang boleh dilakukannya dan siapa yang boleh menasihatkannya, malah beliau menegaskan bahawa bekas Perdana Menteri itu tidak pernah menawarkan sebarang perjanjian serius kepadanya.

“Jika sekalipun beliau menawarkan perjanjian, saya hanya akan mengabaikannya… saya hanya mendengar apa yang beliau katakan.

“Ketika panggilan kedua itu, Najib ‘totally shattered’ (bersedih),” katanya – Reuters.

sumber: berita harian

Dakwa jika bukti cukup – Anwar

Dakwa jika bukti cukup – Anwar

KUALA LUMPUR : Sebarang proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu mengikut proses dan lunas undang-undang.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata orang ramai tidak boleh menjatuhkan hukuman sehingga mahkamah membuktikan bekas Perdana Menteri itu bersalah.

“Orang kata Najib bersalah, tapi kita kena ikut proses. Saya beritahu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan dia kata, pergi cari dokumen.

“Saya setuju tetapi kenalah ikut proses. (Perasaan) marah kita, benci kita, jangan menyebabkan kita tinggalkan landasan hukum.

“Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan hukum, bukan hukum rimba (law of jungle). Walaupun kita percaya ada cukup alasan untuk mendakwa Najib, kita mesti ikut proses, (ada) prima facie yang cukup kuat sebelum dakwa,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Iftar Anwar Ibrahim bersama 500 penyokong di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi, yang disiarkan portal MediaRakyat, di saluran Youtube.

Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan penyokong PH untuk tidak menjadikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai proses membalas dendam kepada musuh.

Katanya, rakyat diingatkan untuk tidak menzalimi orang lain, sebaliknya bersyukur dengan kemenangan itu bagi menegakkan keadilan.

“Jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur, kita kena ikut perintah Allah. Jangan kita kata syukur kepada Allah, kita bantai dia (Najib), terus suruh tangkap. Itu namanya dendam.

“Bukan mudah untuk kita bawa perubahan. Apa yang penting adalah kita tegakkan undang-undang,” katanya.

LTAT tarik balik saman terhadap Rafizi Ramli

LTAT tarik balik saman terhadap Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sudah menarik balik saman fitnahnya terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung isu bayaran gratuiti pesara tentera.

Perkara itu disahkan oleh peguam Saiful Izham Ramli yang mewakili Rafizi ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya, kedua-dua pihak di dalam kes igu bersetuju merekodkan persetujuan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu.

Beliau juga mengesahkan bahawa persetujuan itu direkodkan semalam di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Peguam Izzat Othman dan Ahmad Syateer Izzat hadir bagi mewakili LTAT.

Pada 6 Mei 2016, LTAT memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rafizi Ramli mendakwa beliau ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap mereka.

Mohd Rafizi didakwa mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Bayaran Gratuiti Pesara Angkatan Tentera Lewat: LTAT Perlu Dedahkan Risiko Kewangan Akibat 1MDB pada 21 Mac 2016.

LTAT juga mendakwa, Mohd Rafizi ada mengeluarkan kenyataan melalui laman web Malaysiakini yang bertajuk ‘Rafizi: I have the document showing LTAT’s link to 1MDB’.

Seterusnya, LTAT mendakwa, Mohd Rafizi mengulangi tuduhan sama di laman Facebooknya bertajuk ‘Laporan Ketua Audit Negara Ke Atas 1MDB Mengesahkan 1MDB Kesan Masalah Kewangan 1MDB Ke Atas LTAT’, pada 28 Mac tahun 2016.

Plaintif mendakwa, kenyataan oleh Mohd Rafizi secara semula jadi bermaksud bahawa LTAT langsung tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera dengan menuduhnya terdapat kelewatan sehingga enam bulan untuk membayar caruman atau gratuiti kepada pesara.

Oleh itu LTAT menuntut ganti rugi am dan teladan daripada Mohd Rafizi selain injunksi untuk menghalang atau mencegah defendan, pegawai, ejen atau pekerjanya daripada terus menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu.

Dr M tak setuju tindakan diambil ke atas pengkritik beliau

Dr M tak setuju tindakan diambil ke atas pengkritik beliau

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau tidak bersetuju tindakan diambil ke atas mana-mana individu yang mengkritiknya.

“Saya sudah maklumkan kepada pihak polis berkenaan ini. Undang-undang ini akan dikaji apabila Parlimen bersidang kelak,” katanya dalam catatan di laman Twitter hari ini.

Beliau memuat naik catatan berkenaan dengan pautan kepada laporan media berhubung penangkapan seorang lelaki di Langkawi berhubung kenyataan penghinaan yang keterlaluan di laman Facebook terhadap perdana menteri dan agama Islam.

Menurut laman Facebook Ibu Pejabat Polis (IPD) Langkawi, yang merupakan sumber berita berkenaan, penahanan suspek dibuat susulan laporan polis dibuat beberapa wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Catatan itu menyebut suspek direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

sumber: berita harian

Nik Omar dilarang jadi imam Masjid Tok Guru

Nik Omar dilarang jadi imam Masjid Tok Guru

KOTA BHARU: Anak bekas Musyhidul Am PAS, Nik Omar Nik Aziz mendakwa beliau tidak lagi dibenarkan menjadi imam dan menyampaikan kuliah di Masjid Tok Guru, di sini berikutan keputusannya menyertai Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Beliau yang tewas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka berkata, begitulah `harga’ yang perlu ditanggung apabila pihak keluarganya sudah membuat keputusan terbabit.

Katanya, selain menjadi imam, beliau sepatutnya menggalas tanggungjawab menyampaikan kuliah Maghrib setiap malam Rabu dan Khamis, serta waktu Subuh pada Jumaat, hasil pembahagian tugas adik beradiknya secara tidak rasmi selepas pemergian bapanya, Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Cuma Subuh (pagi) tadi, adik ambo (saya), Nik Abduh terus menjadi Imam dan memberi kuliah. Selepas itu dia bersalam (dengan saya), cumo ambo kata tidak apakah bersalam, tidak najis ke ambo?

“Dia (Nik Abduh) kata ini keputusan keluarga. Jadi ambo tidak dibenar menjadi imam dan bagi kuliah di situ. Bermakna ini harga yang terpaksa ambo tanggung.

“(Apapun), apabila saya pergi (menyertai PH), tidak akan undur ke belakang,” katanya ketika berucap pada Kuliah Pagi Jumaat di Wisma Tok Guru, di sini, hari ini.

Beliau hanya berucap selama 10 minit pada kuliah yang dihadiri lebih 100 penduduk kerana kepenatan dan sukar untuk memberi tumpuan sebelum diserahkan kepada penceramah lain. Ia direkodkan secara langsung di laman Facebook Husam Musa.

Sementara itu, bapa lima anak itu dan juga pengetua Madrasah Darul Anuar itu berkata, faktor beliau menyertai PH apabila melihat negara ini dipimpin pemimpin yang zalim dan memerah harta rakyat melalui duit negara.

“Sebab itu kita nak tukar (kerajaan Persekutuan), kita kesian kepada rakyat, terutama di kampung kerana sudah puluhan tahun berada dalam menderita,” katanya.

sumber: berita harian

Polis geledah satu lagi kediaman Najib

Polis geledah satu lagi kediaman Najib

SEBUAH lagi kediaman Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence Apartment, Kuala Lumpur turut diserbu polis jam 10 malam tadi.

Lebih 20 pegawai dan anggota polis kelihatan memasuki premis mewah berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh mengesahkan pihaknya melakukan pencarian dokumen di beberapa lokasi kediaman bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis dilihat masuk ke perkarangan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta di sini, sebentar tadi.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selebihnya kenderaan Proton Preve bertulis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi dua kereta peronda serta dua motosikal peronda polis masuk ke perkarangan kediaman Najib, kira-kira jam 10.15 malam.

Dipercayai semua kenderaan bersama pegawai dan anggota polis ke kediaman terbabit untuk mengambil bahan bukti serta dokumen berkaitan siasatan polis ke atas Najib.

Namun dipercayai polis akan mengambil sedikit masa untuk mengumpul bahan bukti dan dokumen di kediaman berkenaan.

Dipercayai, serbuan itu diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bagaimanapun buat masa ini NSTP belum mendapat sebarang pengesahan daripada PDRM berhubung serbuan itu.

Trak polis terbabit dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang akan dirampas dalam serbuan itu.

Polis geledah kediaman Najib di Taman Duta

Polis geledah kediaman Najib di Taman Duta

LEBIH 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis dilihat masuk ke perkarangan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta di sini, sebentar tadi.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selebihnya kenderaan Proton Preve bertulis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi dua kereta peronda serta dua motosikal peronda polis masuk ke perkarangan kediaman Najib, kira-kira jam 10.15 malam.

Dipercayai semua kenderaan bersama pegawai dan anggota polis ke kediaman terbabit untuk mengambil bahan bukti serta dokumen berkaitan siasatan polis ke atas Najib.

Namun dipercayai polis akan mengambil sedikit masa untuk mengumpul bahan bukti dan dokumen di kediaman berkenaan.

Dipercayai, serbuan itu diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bagaimanapun buat masa ini NSTP belum mendapat sebarang pengesahan daripada PDRM berhubung serbuan itu.

Trak polis terbabit dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang akan dirampas dalam serbuan itu.

Terdahulu, Najib menunaikan solat terawih di Masjid Kampung Baru dan pulang ke kediamannya kira-kira jam 9.50 malam sebelum ‘dikunjungi’ rombongan pasukan polis itu, kira-kira 25 minit kemudian.

Dalam Twitternya, beliau mengucapkan syukur kepada Allah kerana dapat menunaikan solat sunat terbabit Beliau yang kelihatan mengenakan baju Melayu berwarna merah saga dipadankan seluar hitam turut mendoakan rakyat negara ini sentiasa diberkati Allah SWT.

“Hadis Riwayat Bukhari, “Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, diampunkan dosa-dosanya yang lalu.” Alhamdulillah malam ini dapat solat sunat terawih di Masjid Kg Baru. Semoga kita semua sentiasa diberkati Allah SWT,” katanya dalam Twitter berkenaan.

sumber: harian metro