Dakwa jika bukti cukup – Anwar

Dakwa jika bukti cukup – Anwar

KUALA LUMPUR : Sebarang proses pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak berkaitan isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu mengikut proses dan lunas undang-undang.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata orang ramai tidak boleh menjatuhkan hukuman sehingga mahkamah membuktikan bekas Perdana Menteri itu bersalah.

“Orang kata Najib bersalah, tapi kita kena ikut proses. Saya beritahu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan dia kata, pergi cari dokumen.

“Saya setuju tetapi kenalah ikut proses. (Perasaan) marah kita, benci kita, jangan menyebabkan kita tinggalkan landasan hukum.

“Negara ini ada hukum dan kita berjuang untuk tegakkan hukum, bukan hukum rimba (law of jungle). Walaupun kita percaya ada cukup alasan untuk mendakwa Najib, kita mesti ikut proses, (ada) prima facie yang cukup kuat sebelum dakwa,” katanya.

Beliau berucap pada Majlis Iftar Anwar Ibrahim bersama 500 penyokong di kediamannya di Bukit Segambut, malam tadi, yang disiarkan portal MediaRakyat, di saluran Youtube.

Mengulas lanjut, Anwar mengingatkan penyokong PH untuk tidak menjadikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai proses membalas dendam kepada musuh.

Katanya, rakyat diingatkan untuk tidak menzalimi orang lain, sebaliknya bersyukur dengan kemenangan itu bagi menegakkan keadilan.

“Jangan kemenangan kita itu menghilangkan rasa syukur kepada Allah. Kalau kita syukur, kita kena ikut perintah Allah. Jangan kita kata syukur kepada Allah, kita bantai dia (Najib), terus suruh tangkap. Itu namanya dendam.

“Bukan mudah untuk kita bawa perubahan. Apa yang penting adalah kita tegakkan undang-undang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *