LTAT tarik balik saman terhadap Rafizi Ramli

LTAT tarik balik saman terhadap Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sudah menarik balik saman fitnahnya terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung isu bayaran gratuiti pesara tentera.

Perkara itu disahkan oleh peguam Saiful Izham Ramli yang mewakili Rafizi ketika dihubungi sebentar tadi.

Menurutnya, kedua-dua pihak di dalam kes igu bersetuju merekodkan persetujuan itu tanpa sebarang perintah berhubung kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu.

Beliau juga mengesahkan bahawa persetujuan itu direkodkan semalam di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

Peguam Izzat Othman dan Ahmad Syateer Izzat hadir bagi mewakili LTAT.

Pada 6 Mei 2016, LTAT memfailkan saman fitnah terhadap Mohd Rafizi Ramli mendakwa beliau ada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap mereka.

Mohd Rafizi didakwa mengeluarkan kenyataan bertajuk ‘Bayaran Gratuiti Pesara Angkatan Tentera Lewat: LTAT Perlu Dedahkan Risiko Kewangan Akibat 1MDB pada 21 Mac 2016.

LTAT juga mendakwa, Mohd Rafizi ada mengeluarkan kenyataan melalui laman web Malaysiakini yang bertajuk ‘Rafizi: I have the document showing LTAT’s link to 1MDB’.

Seterusnya, LTAT mendakwa, Mohd Rafizi mengulangi tuduhan sama di laman Facebooknya bertajuk ‘Laporan Ketua Audit Negara Ke Atas 1MDB Mengesahkan 1MDB Kesan Masalah Kewangan 1MDB Ke Atas LTAT’, pada 28 Mac tahun 2016.

Plaintif mendakwa, kenyataan oleh Mohd Rafizi secara semula jadi bermaksud bahawa LTAT langsung tidak menjaga faedah dan kebajikan pesara tentera dengan menuduhnya terdapat kelewatan sehingga enam bulan untuk membayar caruman atau gratuiti kepada pesara.

Oleh itu LTAT menuntut ganti rugi am dan teladan daripada Mohd Rafizi selain injunksi untuk menghalang atau mencegah defendan, pegawai, ejen atau pekerjanya daripada terus menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *