PAS tak mahu berkempen untuk BN

PAS tak mahu berkempen untuk BN

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) berdepan masalah dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis apabila satu lagi parti pembangkang, PAS, enggan menghulurkan bantuan.

Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir, semalam menegaskan parti itu tidak akan membantu kempen calon BN, Datuk Lokman Noor Adam, untuk merampas kerusi DUN itu daripada PKR.

Roslan berkata, keputusan PAS Selangor tidak meletakkan calon pada PRK itu dibuat atas persefahaman bersama dengan BN dan ia tidak lebih daripada kerjasama sebagai blok pembangkang.

Rayuan Lokman untuk mendapatkan bantuan daripada PAS tidak diendahkan, walaupun beliau tegas mahu bertemu pemimpin setempat parti itu di Sungai Kandis.

Lokman yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, dilaporkan mahu berbincang dengan kepemimpinan di bahagian dalam usahanya meyakinkan PAS untuk terbabit sama dengan jentera kempen BN.

PAS memberi laluan kepada BN untuk bertanding dalam PRK itu yang diadakan selepas kematian wakil rakyatnya, Mat Shuhaimi Shafiei, 50, akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Langkah PAS Selangor itu seperti menyatakan penyelesaian aman yang ditawarkan parti itu hanya untuk membenarkan BN bertanding dalam PRK dan ia memberi isyarat jelas parti itu tidak berminat serta ada sebarang kaitan dengan gabungan pembangkang.

Tindakan PAS itu tidak memeranjatkan pakar geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan, yang menyifatkan tindakan itu sebagai keputusan taktikal.

“PAS kelihatan yakin bahawa BN bukan saja akan kalah dalam PRK ini tetapi undi majoriti yang bakal diperoleh calon PKR juga akan meningkat.

“Berdasarkan kepada itu, saya menganggapkan PAS mahu mengenepikan sebarang dakwaan bahawa ia menyokong BN sepanjang kempen dan selepas PRK ini boleh secara selamat menyatakan mereka tidak terbabit secara langsung dan keputusan itu tidak akan diterjemahkan kepada kemerosotan sokongan pengundi kepada mereka,” katanya kepada NSTP.

Dalam PRU-14, kerusi Sungai Kandis menyaksikan pertembungan empat penjuru dengan Mat Shuhaimi mempertahankan kerusi itu, mengalahkan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari; calon PAS, Mohd Yusof Abdullah; dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin.

Mat Shuhaimi meraih 23,998 undi serta majoriti 12,480 bagi mengalahkan Kamaruzzaman yang memperoleh 11,518 undi. Mohd Yusof menerima 7,573 undi manakala Hanafiah hanya mendapat 76 undi.

PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Lokman (BN) dan calon Bebas, K Murthy.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *