Polis geledah satu lagi kediaman Najib

Polis geledah satu lagi kediaman Najib

SEBUAH lagi kediaman Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence Apartment, Kuala Lumpur turut diserbu polis jam 10 malam tadi.

Lebih 20 pegawai dan anggota polis kelihatan memasuki premis mewah berkenaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Amar Singh mengesahkan pihaknya melakukan pencarian dokumen di beberapa lokasi kediaman bekas perdana menteri itu.

Sementara itu, 15 buah kenderaan dan sebuah trak polis dilihat masuk ke perkarangan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta di sini, sebentar tadi.

Enam buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan selebihnya kenderaan Proton Preve bertulis Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan diiringi dua kereta peronda serta dua motosikal peronda polis masuk ke perkarangan kediaman Najib, kira-kira jam 10.15 malam.

Dipercayai semua kenderaan bersama pegawai dan anggota polis ke kediaman terbabit untuk mengambil bahan bukti serta dokumen berkaitan siasatan polis ke atas Najib.

Namun dipercayai polis akan mengambil sedikit masa untuk mengumpul bahan bukti dan dokumen di kediaman berkenaan.

Dipercayai, serbuan itu diketuai Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, bagaimanapun buat masa ini NSTP belum mendapat sebarang pengesahan daripada PDRM berhubung serbuan itu.

Trak polis terbabit dilihat membawa kotak-kotak yang dipercayai akan digunakan untuk mengisi dokumen dan bahan bukti yang akan dirampas dalam serbuan itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *